Tuesday, May 29, 2012

Kenapa Kita Perlu Bersabar(bahagian 2)

Khalifah Umar Abdul Aziz berkata: “Apabila dianugerahkan oleh Allah kepada seseorang hamba itu satu nikmat, lalu dicabutnya nikmat tersebut dan digantikan dengan sabar, maka apa yang digantikan oleh Allah itu lebih utama daripada yang dicabutnya.”
Maka seorang mukmin itu apabila dia bersabar di atas kehilangan nikmat tersebut, sesungguhnya dia telah membenarkan hadis Nabi saw yang mafhumnya bahawa tiada perkara yang berlaku pada diri seorang mukmin itu melainkan semuanya adalah kebaikan. Apabila ditimpa kesulitan dia bersabar dan apabila mendapat kesenangan dia bersyukur.Kedua-duanya adalah baik untuk dirinya. Dan beruntunglah bagi orang yang bersabar kerana Allah telah menjanjikan pahala yang sempurna dan tidak terhitung buat mereka.
Secara amnya sabar boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sabar daripada melakukan maksiat, sabar di atas bala yang menimpa dan sabar dalam melakukan ketaatan. Walau bagaimanapun, sabar dalam melakukan maksiat dan ketaatan adalah yang paling tinggi kerana berhajat kepada keimanan yang kuat dan meletakkan diri kita berhadapan dengan pilihan untuk melakukan atau meninggalkan. Adapun sabar di atas bala yang menimpa, kita memang tiada pilihan melainkan berhadapan dengannya . tapi ini bukanlah bermakna sabar di di atas musibah ini senang, bahkan mungkin lebih payah dan luar daripada jangkaan kita.
Sabar yang sebenar bukanlah yang terucap hanya dibibir kemudian hati tidak meredhai, dan bukan jugalah sabar di saat akhir musibah tersebut. Tetapi sabar yang sebenar memerlukan kepada tiga syarat iaitu hendaklah sabar itu ketika di awal kita ditimpa musibah tersebut kemudian segera pula kita mengucapkan “ innalillahi wa inna ilaihi raji’un ” beserta doa “ allahumma ajurni  fi musibati wakhlifni khairan minha ”. Yang bermaksud kita meyakini bahawa daripada Allah kita datang dan kepada Allah jualah kita akan dikembalikan dan moga kita diberi pahala  atas musibah yang menimpa kita ini serta digantikan dengan hikmat yang lebih baik. Seterusnya kita bersabar tanpa mengadu kepada manusia. Lihatlah betapa cantiknya sabar yang diajarkan oleh Islam itu. Subhannallah…
Setiap perkara yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Begitu juga halnya dengan sabar. Sabar akan menaikkan darjat seorang mukmin itu dan membezakan darjatnya dengan mukmin yang lain. Di samping itu, sabar juga dapat menghilangkan sifat takabbur dalam diri dan menyelamatkan kita daripada tipu daya dunia supaya kita merindui akan kenikmatan syurga yang berkekalan. Dengan ini kita akan sentiasa mengingati Allah dan meyakini bahawa tiada yang berkuasa di dunia ini melainkan Allah swt. Sabda nabi saw: “ Sesungguhnya jika Allah menyayangi sesuatu kaum, maka Dia akan mengujinya ”.
Maha Suci Allah, rupa-rupanya musibah yang diberikan adalah kerana sayangnya Allah pada kita.
Oleh itu marilah sama-sama kita menghiasi diri kita dengan sifat sabar serta membanyakkan bacaan kita tentang kisah para nabi dan rasul seperti kisah Nabi Ayyub as, Nabi Ibrahim as, Nabi Yusuf as dan selain daripada mereka yang sangat hebat diuji oleh Allah agar kita dapat mencontohi dan menaikkan lagi tahap keimanan kita Insyaallah..

No comments:

Post a Comment